PETALING JAYA: Malaysia dan Kenya kini melangkah ke fasa baharu hubungan dua hala dengan menjalin kerjasama strategik ke arah tenaga hijau dan teknologi bersih, menjadikan kedua-dua negara bukan sekadar rakan dagang tetapi sahabat yang mendukung pertumbuhan hijau dan mampan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika lawatan kerjanya di Nairobi, beliau berpeluang berdialog secara langsung dengan penggiat ekonomi, pelabur dan penggerak industri Kenya, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk meneroka potensi sebenar antara kedua-dua negara.
“Di Nairobi semalam (Isnin), saya berpeluang berdialog secara terus dengan para penggiat ekonomi, pelabur dan penggerak industri di Kenya.
“Sesi tersebut ternyata membuka ruang lebih luas dalam meneroka potensi sebenar antara Malaysia dan Kenya,” katanya.
Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada sektor strategik seperti semikonduktor, pendidikan, teknologi, pertanian moden, infrastruktur, industri halal, automotif serta tenaga boleh diperbaharui.
“Kami sepakat bahawa masa depan kerjasama ini harus bergerak ke arah tenaga hijau dan teknologi bersih, lantas menjadikan kedua-dua negara tidak semata rakan dagang tetapi juga sebagai rakan yang mendukung pertumbuhan hijau dan mampan,” katanya.
Anwar berkata, integrasi industri dalam rantauan nilai digital dan mobiliti masa depan semakin jelas dan perlu diterokai secara agresif.
Malaysia, katanya, kini melihat Kenya sebagai pintu penting ke pasaran Afrika Timur.
Dalam pada itu, Malaysia menawarkan pengalaman, kemahiran, modal insan serta ekosistem industri yang tegap dan kukuh sebagai asas kepada kerjasama ini.
“Dengan kejelasan dasar dan iltizam bersama, saya optimis hubungan ekonomi Malaysia-Kenya akan memasuki fasa baharu yang lebih strategik, lebih berdampak dan yang berpaksikan keyakinan dan integriti,” ujarnya.








