Malaysia Ketat Penguatkuasaan VEP Bermula 1 Julai, Denda RM300 Menanti Pemandu Asing

PETALING JAYA: Bermula 1 Julai, Malaysia akan melaksanakan penguatkuasaan penuh terhadap Permit Masuk Kenderaan (VEP), dengan pemilik kenderaan asing yang gagal mematuhi peraturan bakal dikenakan denda sebanyak RM300.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan tegas itu bertujuan memastikan keseragaman dalam pendaftaran kenderaan asing yang memasuki negara.

“Saman akan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan asing yang belum mendaftar atau mengaktifkan VEP mereka mulai tarikh tersebut,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Sehingga 2 Jun, sebanyak 231,018 tag VEP telah dikeluarkan kepada kenderaan persendirian dengan 194,507 telah dipasang dan diaktifkan manakala 36,511 masih belum diaktifkan.

Kata Loke, bagi kenderaan persendirian yang tidak memiliki VEP sah, pemilik perlu membayar denda dan menyelesaikan pendaftaran sebelum meninggalkan Malaysia.

Tambahnya, kenderaan yang telah didaftarkan tetapi belum diaktifkan juga tidak terkecuali daripada dikenakan saman.

Menurutnya lagi, untuk memastikan kelancaran trafik, pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan saman secara fizikal kepada pemandu yang melanggar peraturan, dengan penguatkuasaan dilakukan di beberapa lokasi selain pusat pemeriksaan utama.

“Kami yakin majoriti pemandu Singapura akan mendaftar sebelum 1 Julai kerana mereka pemandu yang taat undang-undang,” jelasnya.

Bagi mereka yang dikenakan saman, pembayaran boleh dilakukan secara tanpa tunai di kaunter JPJ, kaunter bergerak JPJ, atau melalui portal MyEG.

Anda Mungkin Berminat