Malaysia kian jadi tumpuan pelabur global – Zafrul

HONG KONG: Malaysia terus menarik perhatian pelabur antarabangsa apabila Sesi Panel ‘Spotlight on Malaysia’ anjuran South China Morning Post (SCMP) di Hong Kong menerima sambutan menggalakkan, sekali gus membuka ruang untuk menonjolkan potensi negara di pentas global.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata sesi berkenaan bukan sekadar acara biasa, sebaliknya peluang penting untuk memperkukuh keyakinan dunia terhadap Malaysia.

Menurutnya, kedudukan ASEAN kini semakin relevan dalam landskap ekonomi dan geopolitik global, dengan Malaysia memainkan peranan penting sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.

“Malaysia diiktiraf kerana keupayaan mengurus hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) dan China secara serentak, mengekalkan dasar berkecuali sambil memastikan kepentingan negara diutamakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Beliau merujuk kejayaan Malaysia melalui pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan AS serta naik taraf ASEAN-China Free Trade Area (ACFTA) yang dimuktamadkan baru-baru ini.

Tengku Zafrul turut menekankan bahawa kestabilan politik negara menjadi faktor utama yang semakin meyakinkan pelabur dan komuniti perniagaan antarabangsa.

“Malaysia telah meyakinkan para pelabur terhadap keupayaan kita untuk terus maju,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat