PETALING JAYA: Malaysia komited untuk memajukan Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA) serta menjadi penggerak, dalam mewujudkan rangka kerja kawal selia yang lebih cekap dan bersepadu dalam sistem penjagaan kesihatan di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu termasuk menambah baik kebolehcapaian peranti perubatan selamat dan berkesan serta mengukuhkan sistem penjagaan pesakit.
Menurutnya, pendigitalan dan penjagaan kesihatan pula dikenal pasti sebagai tonggak utama untuk pertumbuhan mampan di bawah strategi ASEAN dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
“Sebagaimana kita tahu, tumpuan utama kepengerusian ASEAN tahun depan adalah mewujudkan grid tenaga ASEAN, manakala yang kedua (tumpuan) digitalisasi dan penjagaan kesihatan,” katanya pada Majlis Penutup Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 di Kuala Lumpur pada Khamis.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dan Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli.
Anwar mengakui Kementerian Kesihatan (KKM) akan berdepan cabaran besar untuk merealisasikan hasrat tersebut, namun kerajaan masih memperuntukkan belanjawan kedua tertinggi bagi 2025.
Katanya, ini membolehkan KKM mempertingkat kualiti sistem kesihatan sedia ada termasuk infrastruktur, peningkatan kemahiran petugas dan integrasi digital yang lebih maju seperti AI, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan teknologi rangkaian 5G.
“Tetapi yang paling penting semua ini mesti dilakukan dengan cepat, cekap dan telus,” tambahnya.