Malaysia Komited Muktamad Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Korea (MKFTA) Tahun Ini

PUTRAJAYA: Malaysia menyatakan komitmen penuh untuk memuktamadkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Korea (MKFTA) pada tahun ini.

Tindakan ini sebagai usaha memperkukuh hubungan ekonomi dua hala dengan Republik Korea.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan perkara itu dalam perbualan telefon bersama Presiden baharu Korea Selatan, Lee Jae Myung, pagi tadi.

Dalam perbualan itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Presiden Lee atas kemenangan beliau dan Parti Demokratik dalam Pilihan Raya Presiden, baru-baru ini.

“Malaysia dan Korea Selatan berkongsi hubungan perdagangan yang kukuh dan dinamik.

“Korea Selatan merupakan rakan dagang kelapan terbesar negara dengan nilai perdagangan melebihi AS$20 bilion selama tiga tahun berturut-turut,” kata Perdana Menteri.

Tambah beliau, pemuktamadan MKFTA bakal menjadi pemangkin kepada peningkatan pelaburan dua hala, mempermudah akses pasaran dan memperluas kerjasama dalam bidang strategik seperti teknologi, tenaga boleh baharu serta ekonomi digital.

Perjanjian tersebut juga dilihat selari dengan aspirasi Malaysia untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi menerusi pengukuhan jaringan perdagangan bebas serantau dan global, sejajar dengan kerangka Dasar Luar MADANI.

Rundingan MKFTA mula dibincangkan sejak beberapa tahun lalu namun mengalami beberapa penangguhan.

Penyambungan semula rundingan yang lebih agresif pada tahun ini menandakan kesungguhan kedua-dua negara dalam memperkukuh lagi hubungan ekonomi strategik.

Dalam perbualan tersebut, Anwar turut menjemput Presiden Lee menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak ASEAN-ROK di Kuala Lumpur serta menyatakan hasrat untuk bertemu semula semasa Sidang Kemuncak APEC di Gyeongju, Korea Selatan pada November ini.

Anda Mungkin Berminat