Malaysia komited perjuang peralihan tenaga, peneraju perubahan iklim di ASEAN – PM

PETALING JAYA: Dalam sebuah dialog maya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama 16 Ketua Negara dan kerajaan lain menyertai perbincangan yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung PBB, TYT António Guterres dan Presiden Brazil, TYT Luiz Inácio Lula da Silva.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar berkata, dialog itu merupakan persediaan penting menuju #COP30 dengan fokus utama pada isu perubahan iklim global.

“Saya tegaskan komitmen Malaysia untuk mengurangkan keamatan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050.

“Matlamat ini disokong oleh dasar yang kukuh seperti Dasar Perubahan Iklim Negara (DPIN) 2.0, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan pelaksanaan cukai karbon bermula tahun hadapan,” katanya.

Menurut Anwar, Malaysia juga menyeru kepada kerjasama global yang lebih erat dan pembiayaan iklim yang adil terutamanya bagi negara-negara membangun.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, beliau berkata, Malaysia bertekad untuk memacu tindakan iklim serantau yang lebih kukuh, memperjuangkan peralihan tenaga yang adil dan inklusif.

“Seterusnya meletakkan ASEAN sebagai hab untuk inovasi hijau dan pelaburan mampan,” katanya.

Tambahnya lagi, dialog berkenaan juga menjadi platform untuk bertukar pandangan dan amalan terbaik dalam menangani perubahan iklim termasuk persediaan untuk menetapkan sasaran Nationally Determined Contribution (NDC) yang akan datang.

Anda Mungkin Berminat