Malaysia Komited Perkukuh Sistem Perundangan ASEAN – PM

Oleh: Tyah Helmi

KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan komitmennya untuk memperkukuh sistem perundangan ASEAN yang berteraskan keadilan, keterangkuman dan kelestarian, sejajar dengan aspirasi serantau menuju Visi ASEAN 2045.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedaulatan undang-undang perlu menjadi asas kepada kestabilan dan kemakmuran bersama di rantau ini.

“ASEAN berasaskan peraturan bukanlah sekadar aspirasi teknikal.

“Ia adalah asas kepada kepercayaan, kestabilan dan kemakmuran bersama,” katanya.

Beliau turut mengiktiraf kekuatan ASEAN yang terletak pada kepelbagaian sistem undang-undang, budaya dan sejarah yang menurutnya harus dihormati dan dijadikan kekuatan kolektif.

“Kesatuan dalam ASEAN tidak menuntut keseragaman. Kepelbagaian adalah kekuatan kita.

“Apa yang menyatukan kita bukanlah kesamaan tetapi tekad kolektif untuk memastikan sistem kita berfungsi secara harmoni demi kebaikan bersama,” katanya.

Anwar menyampaikan ucapan tersebut semasa merasmikan Forum Undang-Undang ASEAN 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Rabu.

Beliau menyifatkan forum itu bukan sekadar pertemuan profesional tetapi sebagai medan penyatuan cita-cita dan harapan demi masa depan rantau ASEAN.

“Adalah suatu penghormatan untuk mengalu-alukan anda ke Forum Undang-Undang ASEAN 2025.

“Perhimpunan pemikir undang-undang ini bukan sekadar pertemuan profesional tetapi penyatuan cita-cita dan aspirasi untuk masa depan rantau kita,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh ekosistem perundangan nasional dan memperluas kerjasama serantau, Anwar berkata, Malaysia kini sedang mempertimbangkan penubuhan sebuah Kementerian Undang-Undang khusus.

“Dengan menyelaraskan diri dengan amalan terbaik jiran serantau, Malaysia akan lebih bersedia untuk membentuk sebuah tatanan serantau yang lebih adil dan responsif,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kepentingan undang-undang dalam menyelesaikan konflik secara damai dengan merujuk kepada kejayaan rundingan Malaysia dalam menangani ketegangan di sempadan Thailand dan Kemboja.

“Sejarah membuktikan bahawa konfrontasi hanya membawa ketidakpastian, manakala dialog (rundingan) membina kepercayaan yang diperlukan untuk kestabilan berpanjangan.

“Ini bukan sekadar kejayaan diplomasi tetapi memberi peringat bahawa ASEAN mampu bangkit dan menjadi pemelihara keamanan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat