PARLIMEN: Malaysia menegaskan komitmennya sebagai Pengerusi ASEAN untuk memainkan peranan lebih aktif dalam usaha menyelesaikan krisis berpanjangan di Myanmar sejak 2021.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia telah mengadakan rundingan dengan semua pihak berkepentingan termasuk Junta Tentera, kerajaan buangan dan pelbagai pemegang taruh bagi mencari penyelesaian menyeluruh.
“Kita tidak boleh dakwa sebagai juara hak asasi jika isu Myanmar masih gagal diselesaikan,” katanya semasa sesi di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, sekitar 70 peratus permintaan utama ASEAN telah dipersetujui termasuk pembebasan tahanan politik, gencatan senjata menyeluruh dan saluran bantuan kemanusiaan yang lebih lancar.
Namun, beliau mengakui pelaksanaan bantuan masih tersekat dan kini menjadi fokus rundingan bersama rakan antarabangsa seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mohamad turut menolak pelaksanaan pilihan raya oleh junta dalam keadaan yang tidak stabil kerana dikhuatiri hanya akan memburukkan lagi keadaan rakyat Myanmar.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan semakin banyak negara menunjukkan minat untuk menjadi rakan dialog ASEAN termasuk Itali, Sweden dan Lithuania yang dijangka menandatangani perjanjian kerjasama damai pada Sidang Kemuncak akan datang.
Pernyataan itu dibuat ketika beliau menjawab pertanyaan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang meminta penjelasan mengenai peranan Malaysia dan ASEAN dalam memperkukuh perpaduan serta pemusatan menghadapi cabaran geopolitik semasa pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.