REPUBLIK KOREA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk muncul sebagai antara negara peneraju kecerdasan buatan (AI) menjelang tahun 2030, dengan fokus kepada penciptaan nilai dan inovasi yang memacu ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Anwar berkata demikian selepas mengadakan perbincangan penuh makna bersama Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA Corporation, Jensen Huang, dan Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Yeoh Seok Hong.
Katanya, pertemuan itu merupakan susulan kepada perbincangan terdahulu di Putrajaya, yang menyaksikan pengumuman pelaburan bernilai RM10 bilion bagi pembangunan infrastruktur AI menggunakan tenaga hijau di Malaysia.
“Pelaburan ini menunjukkan kesungguhan bersama dalam memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia, NVIDIA dan YTL Power ke arah membina masa depan digital yang berdaya saing dan berdaulat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau turut memaklumkan perbincangan tersebut menzahirkan kemajuan ketara Malaysia dalam agenda Sovereign AI, termasuk penubuhan Pejabat AI Kebangsaan, pelancaran ILMU, serta pembinaan pusat data AI bertaraf dunia di Kulai, Johor.
“Pembangunan AI berdaulat adalah langkah penting untuk menjamin kedaulatan digital negara dan membina ekosistem berasaskan kepercayaan, keselamatan serta tanggungjawab moral,” katanya.
Anwar juga merakamkan penghargaan kepada NVIDIA dan YTL Power atas kerjasama yang mempercepatkan pelaksanaan agenda AI Malaysia.
Sebelum ini, Malaysia dan NVIDIA mengumumkan pelaburan besar dalam tenaga hijau dan AI, yang dijangka menjadikan negara sebagai hab kecerdasan buatan serantau, selaras dengan visi ekonomi MADANI yang inklusif, beretika dan mampan.
Baca juga:








