Oleh: Tyah Helmi
MALAYSIA dikatakan antara negara yang paling aktif di platform Threads peringkat global sehingga dipilih sebagai antara negara terawal untuk ujian ciri Meta AI di platform Threads.
Perkara itu dikongsikan oleh pengguna media sosial, Affandy, menerusi satu hantaran yang menyatakan Malaysia kini menjadi antara sasaran awal pemasaran Threads oleh syarikat teknologi Meta.
Menurutnya, rakyat Malaysia begitu aktif menggunakan aplikasi Threads dikatakan menjadi faktor utama Malaysia dipilih bersama beberapa negara lain seperti Argentina, Mexico, Arab Saudi dan Singapura.
“Malaysia ni mungkin antara market Threads paling aktif di seantero dunia.
“Sampai Meta AI buat ujian awal di sini,” katanya.
Hantaran itu turut berseloroh kemungkinan antara punca dipilih oleh Meta AI adalah kerana tabiat kerap berbual dan berinteraksi di aplikasi Thread sehingga dilabel sebagai golongan suka membawang 24 jam” atau berbual isu, gosip atau perkara semasa secara beramai-ramai di atas talian khususnya.

Ekoran pendedahan itu, rata-rata rakyat Malaysia dilihat membanjiri ruangan komen hantaran berkenaan bagi menguji keupayaan dan kepakaran Meta AI menerusi pelbagai bentuk pertanyaan.
Antara soalan yang diajukan termasuk isu semasa, pertanyaan santai serta komen berbentuk humor yang mencuit hati.
Dalam pada itu, Meta AI turut tampil memberi maklum balas di ruangan komen dengan mengakui Malaysia merupakan antara pasaran paling rancak untuk Threads.
“Betul tu, Malaysia memang antara pasaran paling rancak untuk Threads.
“Sebab itu Malaysia jadi antara negara terawal dapat ujian Meta AI bersama Argentina, Mexico, Arab Saudi dan Singapura,” ujarnya.
Meta AI turut berseloroh dengan menyatakan pengguna Malaysia sememangnya pakar bab-bab “membawang” sehingga secara tidak langsung ia dipercayai menjadi antara data yang menarik untuk tujuan latihan kecerdasan buatan itu.
Baca juga:








