Malaysia Kukuh Kedudukan Serantau Sebagai Hab Ekonomi, Penerbangan Utama Asia – PM

PARIS: Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab ekonomi dan penerbangan utama Asia melalui beberapa pemeteraian perjanjian penting yang disaksikan dalam lawatan rasmi ke Perancis.

Dalam satu hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa AirAsia menandatangani perjanjian pembelian 70 pesawat Airbus A321XLR bernilai lebih RM51 bilion, yang bakal memperkukuh operasi laluan jarak dekat dan sederhana serta menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab penerbangan serantau.

“Perolehan ini bukan sahaja memperluas rangkaian penerbangan, malah menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab penerbangan utama di rantau Asia,” katanya.

Malah katanya, sektor pelaburan turut menerima suntikan baharu apabila memorandum persefahaman dimeterai antara 3P Capital Adviser dan Ardian, firma pelaburan persendirian terkemuka dari Perancis.

Menurut Anwar, usaha itu membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengakses pelaburan alternatif yang lebih luas.

“Inisiatif sektor swasta ini mampu membuka akses lebih luas kepada rakyat Malaysia terhadap pelaburan alternatif,” katanya.

Dalam pertemuan bersama Imerys pula, iaitu sebuah syarikat pemproses mineral industri yang telah beroperasi di Malaysia selama lebih dua dekad, komitmen ditunjukkan untuk memperluas operasi dan menyokong pembangunan sektor pembuatan bernilai tinggi dan mesra alam turut dizahirkan.

“Saya dimaklumkan mengenai komitmen mereka untuk memperluas operasi dan menyokong pembangunan sektor pembuatan bernilai tinggi dan mesra alam di negara ini,” tambahnya.

Sementara itu, Arkema, peneraju global dalam kimia khas sedang menilai potensi pelaburan baharu di Malaysia.

Kata Anwar, pelaburan itu dijangka mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan mempercepat pemindahan teknologi, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab bioekonomi utama Asia.

“Ia berupaya mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi, mempercepat pemindahan teknologi dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama bioekonomi di rantau Asia,” ujarnya.

https://malaysiabangkit.com/anwar-seru-pembaharuan-hubungan-asia-eropah-dalam-syarahan-berprestij-di-sorbonne

Anda Mungkin Berminat