PETALING JAYA: Malaysia mengukuhkan kehadirannya dalam dunia digital serantau dengan penyertaan dalam Mesyuarat Menteri Asia-Pacific Telecommunity (APT) 2025 yang berlangsung di Tokyo, Jepun.
Acara itu menjadi medan penting bagi negara anggota untuk merangka dasar dan strategi demi memastikan pembangunan digital yang inklusif, mampan dan selamat di Asia Pasifik.
Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, Malaysia berbesar hati menyertai mesyuarat ini bersama negara-negara anggota dalam usaha memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang telekomunikasi dan teknologi maklumat.
“Pada masa sama bertindak sebagai pentas kerjasama pelbagai hala di rantau yang pesat membangun dari segi teknologi, selain menyokong negara membangun dari segi kemampuan teknikal, pembinaan kapasiti dan kawal selia ICT.
“Komitmen bersama ini mencerminkan usaha berterusan untuk memperkasa transformasi digital serantau demi kemajuan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Untuk info, APT yang ditubuhkan pada tahun 1979, merupakan organisasi antara kerajaan yang beroperasi di bawah kerjasama antara United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP) dan International Telecommunication Union (ITU).
Dengan peranan sebagai pemacu utama pembangunan ICT di Asia Pasifik, APT terus berusaha memastikan semua negara anggota dapat menikmati manfaat ekonomi digital secara menyeluruh.








