PETALING JAYA: Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab halal global dengan penganjuran Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025 dan Pameran Antarabangsa Halal Malaysia (MIHAS) yang bermula pada Jumaat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata majlis pembukaan GHaS 2025 disusuli dengan lawatan ke MIHAS serta majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Palestin mengenai kerjasama ekonomi dan perdagangan.
Anwar menekankan kepentingan memahami asas ‘halalan toyyiban’, iaitu konsep menyeluruh yang menggabungkan elemen kemampanan, kebersihan, kesihatan serta nilai etika dan tanggungjawab.
“Halal bukan sekadar logo, tetapi simbol keyakinan, kepercayaan dan mesej dakwah yang dizahirkan melalui amalan serta tindakan kita,” kata Anwar dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pendekatan holistik itu menjadikan halal bukan sahaja relevan kepada umat Islam, malah diyakini masyarakat antarabangsa sebagai penanda aras keselamatan dan kualiti produk.
Kerjasama dengan Palestin dilihat sebagai langkah penting dalam memperluas jaringan ekonomi halal, selain memperkukuh solidariti Malaysia dengan negara tersebut dalam bidang perdagangan.
Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap legasi almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi yang merintis inisiatif halal Malaysia sehingga mampu bertahan kukuh dan diiktiraf dunia.
Malaysia kini menjadi rujukan utama industri halal antarabangsa hasil usaha berterusan kerajaan dan sektor swasta sejak awal 2000-an, meletakkan negara ini sebagai peneraju utama dalam pasaran halal global.
Baca juga: