Malaysia Kutuk Serangan Israel Ke Atas Doha: ‘Satu Serangan Terhadap Kita Semua’ – Anwar

DOHA: Dalam Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam yang berlangsung di Doha, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil dengan kenyataan paling lantang setakat ini terhadap tindakan Israel yang melancarkan serangan udara ke atas ibu negara Qatar.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya dan tanpa sebarang keraguan serangan udara Israel ke atas kota Doha ini.

“Menjatuhkan bom ke atas ibu negara sebuah negara berdaulat adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan, kejam dan tidak dapat dipertahankan,” katanya dalam Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam Untuk Menangani Serangan Israel Terhadap Qatar.

Kenyataan itu disampaikan di hadapan pemimpin-pemimpin dunia Islam termasuk Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Amir Qatar, yang negaranya kini menjadi sasaran walaupun memainkan peranan penting sebagai perantara damai.

“Menyerang Qatar bermakna mensabotaj secara terang-terangan usaha damai tersebut.

“Serangan ini mesti dianggap sebagai serangan terhadap kita semua,” katanya.

Anwar turut mengangkat penderitaan rakyat Gaza yang terus menjadi mangsa kekejaman, menyifatkan situasi di sana sebagai ‘kemusnahan dan penderitaan yang tiada bandingan’.

Beliau turut menyenaraikan siri serangan Israel ke atas Lubnan, Syria, Yaman, Iraq dan Iran sebagai bukti pola pelanggaran undang-undang antarabangsa yang semakin meluas.

“Israel telah mengisytiharkan bahawa negara Palestin tidak akan wujud.

“Maka, kita harus jelas ini adalah pengisytiharan apartheid yang kekal,” ujarnya.

Dalam nada yang penuh kecewa dan mendesak, Anwar mengkritik kegagalan komuniti antarabangsa yang hanya mengeluarkan kutukan tanpa tindakan konkrit.

Oleh yang demikian, beliau menyeru agar hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel dihentikan serta-merta.

“Kutukan tidak akan menghentikan peluru berpandu. Kenyataan tidak akan membebaskan Palestin.

“Tindakan hukuman yang berat mesti dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut menyentuh misi flotila bantuan yang sedang belayar ke Gaza dengan menyifatkannya sebagai ‘misi belas ihsan’ dan menyeru agar ia tidak disekat dengan kekerasan.

“Membiarkannya disekat dengan kekerasan adalah satu pengkhianatan terhadap amanah hati nurani kita untuk mempertahankan yang lemah, melindungi yang tertindas dan memberi makan kepada yang kelaparan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat