Malaysia Lancar Dasar Baharu Lindungi Kanak-Kanak Dalam Talian

KUALA LUMPUR: Malaysia melancarkan Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan Kanak-Kanak 2026–2030 sebagai langkah memperkukuh perlindungan kanak-kanak dalam ruang digital yang semakin berisiko.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ancaman siber terhadap kanak-kanak berkembang pantas seiring dengan kemunculan teknologi baharu.

“Satu pertiga pengguna internet hari ini ialah kanak-kanak dan hampir 30 kes buli siber dilaporkan setiap hari di Malaysia,” katanya ketika merasmikan Forum ICT ASEAN 2025 mengenai Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian pada Selasa.

Menurut beliau, ancaman seperti ‘deepfake’, pencurian identiti digital dan eksploitasi dalam talian menuntut tindakan serantau yang lebih tersusun.

“Bagi menangani isu itu, Malaysia mengetengahkan tiga keutamaan di peringkat ASEAN, iaitu Rangkaian Perkongsian Maklumat Perlindungan Kanak-Kanak ASEAN, Protokol Forensik Digital Dikongsi dan Kurikulum Penjagaan Digital ASEAN,” katanya.

Zahid berkata, usaha itu bertujuan mewujudkan ASEAN sebagai zon digital yang selamat dan beretika untuk kanak-kanak.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menerajui penyediaan dasar baharu tersebut.

“Dengan iltizam yang jelas dan kerjasama kukuh seluruh rantau, kita mampu membina ekosistem digital yang lebih selamat dan berdaya tahan untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat