BARCELONA: Malaysia secara rasminya membuka pavilion di Mobile World Congress (MWC) 2025 di Sepanyol.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan pavilion itu sebagai platform untuk mempamerkan kemajuan teknologi negara dan peranan pentingnya dalam memacu perkembangan rantau ASEAN.
Menurut MCMC, Pavilion Malaysia menggabungkan Kementerian Komunikasi, MCMC, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta pemimpin industri termasuk Digital Nasional Bhd, CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Bhd, U Mobile Sdn Bhd, YTL Corporation Bhd, Edotco Group Sdn Bhd, dan MEASAT Global Bhd.
“Pavilion itu mencerminkan komitmen negara dalam memacu transformasi digital dan memperkukuh kerjasama antarabangsa,” kata kenyataan itu.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata, Malaysia komited dalam membangunkan ekosistem digital yang memberi manfaat kepada rakyat dan rakan serantau.
“Pavilion Malaysia di MWC 2025 menjadi bukti kemajuan negara serta visi kami untuk masa depan yang terhubung, inovatif, dan mampan,” katanya.
Menurutnya lagi, antara tarikan utama pavilion itu ialah Pelan Infrastruktur Digital Nasional (JENDELA) yang menyediakan akses internet berkelajuan tinggi kepada lebih 9.03 juta premis, melebihi sasaran asal sebanyak 9 juta menjelang 2025.
Selain itu, katanya, terdapat rangkaian teras berbilang operator ‘6-Way Multi-Operator Core Network’ (MOCN), inisiatif pertama seumpamanya di ASEAN yang meningkatkan kesalinghubungan melalui perkongsian infrastruktur dalam kalangan pengendali rangkaian mudah alih.
Tambah Mohamad Fauzi, dengan mempamerkan pencapaian Malaysia di MWC 2025, negara bukan sahaja mengekalkan kedudukan setanding kemajuan global, malah menyumbang inovasi berharga yang memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial.
Pavilion Malaysia turut menampilkan MCMC Nexus, sebuah alat analitik yang bertujuan meningkatkan prestasi rangkaian dan perancangan bandar serta pelbagai penyelesaian digital yang diterapkan dalam sektor seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, pembuatan dan bandar pintar.
Kunjungi Pavilion Malaysia di Hall 7, Stand 7H51 sepanjang MWC 2025 yang berlangsung dari 3 hingga 6 Mac untuk menyaksikan kemajuan digital Malaysia yang mengagumkan.








