Oleh: Kamilia Ali
VIENTIANE: Malaysia dan Lao PDR bersetuju untuk mempertahankan doktrin ASEAN sebagai Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN) bagi memastikan kestabilan dan keamanan rantau ini terus terpelihara, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Beliau berkata demikian pada satu hantaran di Facebook miliknya, dalam pertemuan rasmi antara kedua-dua negara yang kemudian bersepakat memperkukuhkan hubungan erat melalui diplomasi Parlimen.
“Kami juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama strategik dalam bidang keterjaminan makanan dan tenaga boleh diperbaharui, dua aspek penting bagi masa depan rantau ini.
“Saya yakin ASEAN berada dalam posisi strategik untuk menerajui usaha global dalam menangani krisis iklim,” katanya.
Sebelum itu, Johari selaku Ketua Delegasi Parlimen Malaysia telah menghadiri ASEAN AIPA Leaders Interface, di mana pertemuan yang menggabungkan Ketua-ketua Kerajaan ASEAN dan Ketua-ketua Parlimen ASEAN untuk bertukar pandangan mengenai isu-isu penting serantau.

Speaker Lao PDR yang juga Pengerusi AIPA ke-45 telah menekankan tiga perkara Utama iaitu hubungan erat antara kerajaan dan Parlimen setiap negara, penggemblengan kekuatan ekonomi rantau yang merupakan ekonomi keempat terbesar dunia dan kepentingan mengekalkan ASEAN sebagai ZOPFAN demi kestabilan rantau ini.
Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik pandangan tersebut dan mengusulkan agar Parlimen di rantau ini membuka lebih ruang kepada ahlinya untuk berbincang secara terbuka.
“Dengan lebih banyak ruang perbincangan terbuka, ASEAN dan Asia akan lebih siap untuk menjadi medan ekonomi terunggul abad ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga memuji kejayaan penganjuran Persidangan ASEAN dan ASEAN AIPA Leaders Interface yang cemerlang.
“Penganjuran ini memberi banyak inspirasi kepada Malaysia dalam persediaannya sebagai Pengerusi ASEAN dan AIPA tahun hadapan,” ujarnya.
Baca lagi: