PETALING JAYA: Parti Tindakan Demokratik (DAP) hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap pencalonan personaliti konservatif Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Kasthuri Patto berkata, pelantikan itu sebagai tidak selari dengan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan rakan strategik AS di rantau ini.
“Malaysia layak menerima wakil diplomatik yang lebih berkredibiliti serta berwibawa,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, latar belakang dan kenyataan kontroversi Adams yang menjurus kepada Islamophobia dan seksisme telah mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia, sekali gus menimbulkan persoalan tentang kesesuaian beliau sebagai wakil rasmi ke negara berbilang kaum dan agama.
“Nick Adams bukan sahaja pernah mengeluarkan kenyataan meremehkan wanita, malah turut dikenali dengan pandangan konservatif ekstrem yang menjurus kepada Islamophobia,” katanya.
Kasthuri turut mempersoalkan kemampuan Adams yang baru memperoleh kewarganegaraan AS pada 2021 untuk memahami sensitiviti masyarakat majmuk Malaysia dan menjalankan tugas diplomatik dengan penuh hormat.
“Adakah beliau (Nick Adams) benar-benar memiliki kelayakan dan kebolehan diplomatik untuk menjadi jambatan hubungan antara Malaysia dan Amerika Syarikat ketika dunia berdepan cabaran perdagangan, hak asasi manusia dan kestabilan global?”
“Adakah beliau mampu mewakili nilai pelbagai budaya, agama dan kaum yang ada di negaranya sendiri dengan penuh hormat dan tanggungjawab diplomatik?” soalnya.
Beliau berkata, hubungan Malaysia-AS telah lama memberi manfaat dalam pelbagai sektor seperti perdagangan, pendidikan, teknologi dan hak asasi manusia.
Oleh itu, katanya, pelantikan duta harus dibuat secara teliti agar hubungan erat dan saling hormat antara kedua-dua negara terus terjalin dengan kukuh.
“DAP menggesa agar pelantikan duta dibuat secara teliti agar hubungan erat dan saling hormat antara kedua-dua negara terus terjalin dengan kukuh demi kebaikan bersama,” tegasnya.








