PETALING JAYA: Malaysia terus mencatat pencapaian membanggakan apabila kedudukannya melonjak 11 anak tangga ke tempat ke-23 daripada 69 negara dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia (World Competitiveness Ranking – WCR) 2025, sekali gus menandakan kemajuan ketara dalam pentadbiran negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan peningkatan itu sebagai pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun terakhir, di mana satu petunjuk nyata bahawa agenda reformasi Kerajaan MADANI mula membuahkan hasil.
“Ini petunjuk jelas bahawa usaha reformasi Kerajaan MADANI sedang membuahkan hasil.
“Kita buktikan Malaysia mampu melonjak jauh dengan tekad politik, iltizam seluruh jentera kerajaan dan kerjasama erat sektor swasta,” katanya di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, kejayaan itu mencerminkan kekuatan dari aspek perdagangan, kecekapan pentadbiran serta persekitaran pelaburan yang kondusif, sekali gus menjadi landasan kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.
“Pencapaian ini milik semua rakyat Malaysia. Ia adalah antara asas penting dalam perjalanan kita untuk meletakkan negara ini dalam kelompok ekonomi paling berdaya saing menjelang 2033 demi masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak kita,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, peningkatan drastik itu didorong oleh kecekapan kerajaan serta usaha menyeluruh dalam memperkukuh struktur tadbir urus, institusi awam dan sistem kawal selia.
Katanya, antara lonjakan ketara termasuklah pengurusan kewangan awam yang kini berada di kedudukan ke-27 berbanding tempat ke-35 tahun lalu.
Malah, beliau berkata, Kerangka Institusi negara turut meningkat sebanyak 11 anak tangga ke tangga ke-20 yang menandakan kejayaan pelbagai inisiatif reformasi yang telah digerakkan.
“Kerangka Institusi negara juga meningkat cemerlang sebanyak 11 anak tangga ke kedudukan ke-20, menunjukkan keberkesanan inisiatif reformasi dan peningkatan produktiviti serta kecekapan perkhidmatan awam,” jelas beliau dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Shamsul, bagi sub-faktor Kerangka Institusi, indikator birokrasi melonjak 22 anak tangga ke kedudukan ke-14—pencapaian yang dikaitkan dengan kejayaan awal Program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).
“Program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) terbukti dengan peningkatan kedudukan indikator ini,” katanya.
Dalam masa sama, indeks Sogokan dan Rasuah turut memperlihatkan peningkatan positif, naik 12 anak tangga ke tempat ke-34, petanda jelas terhadap keyakinan komuniti perniagaan terhadap langkah-langkah tegas kerajaan.
“Indikator Sogokan dan Rasuah turut menunjukkan peningkatan positif, meningkat sebanyak 12 anak tangga ke kedudukan ke-34, menggambarkan keyakinan komuniti perniagaan terhadap ketegasan kerajaan dalam membanteras rasuah serta memperkukuh kecekapan perkhidmatan kepada rakyat, pelabur dan peniaga,” katanya lagi.