Malaysia lulus RM160 bilion pelaburan dalam tempoh enam bulan – PM

KUALA LUMPUR: Pelaburan yang diluluskan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini telah melonjak kepada RM160 bilion, sekali gus menyaksikan peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, semua pelaburan itu melibatkan hampir 3,000 projek baharu yang akan membuka lebih 79,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Khazanah Nasional di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.

Daripada jumlah itu, pelaburan domestik (DI) menyumbang 53.4 peratus, manakala pelaburan asing (FI) pula mencatatkan 46.6 peratus.

Peningkatan ini mencerminkan bukan sahaja keyakinan pelabur terhadap kestabilan dasar dan politik Malaysia, malah keberkesanan dasar-dasar strategik yang dilaksanakan, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (#NIMP2030), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), dan Strategi Pelaburan Hijau (GIS).

Anda Mungkin Berminat