PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan Perdagangan Luar Luxembourg, Xavier Bettel, dalam satu pertemuan rasmi di pejabat beliau pada Selasa.
Pertemuan itu membuka ruang penting untuk kedua-dua negara membincangkan langkah memperkukuh kerjasama dua hala khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, kewangan dan logistik.
“Kami bertekad meningkatkan hubungan dagang dan pelaburan, selain memperkukuh kerjasama dalam sektor kewangan dan logistik,” kata Anwar dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyatakan bahawa pertemuan tersebut menjadi medan pertukaran pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Menurutnya, antara topik yang dibincangkan termasuk peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, situasi semasa di Timur Tengah khususnya Palestin serta usaha mempererat hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU).
Kerjasama yang lebih kukuh dengan EU diyakini mampu menyumbang kepada agenda pembangunan inklusif dan mampan Malaysia, selaras dengan aspirasi negara untuk memperluas jaringan diplomatik dan ekonomi di peringkat global.