Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa di saat dunia dilanda ketidaktentuan konflik serta tekanan kuasa-kuasa besar, cabaran geo-ekonomi dan ancaman isu keselamatan, ASEAN perlu menilai semula keutamaan nasional.
Menerusi ucaptama di Majlis Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-38 hari ini, Anwar menyifatkan isu berkenaan bukanlah perkara baharu namun kesannya telah memaksa khususnya di Asia Tenggara untuk menilai semula dari segala pandangan strategik dan mengemudi kerumitan hubungan global yang makin mencabar.
“Kita kini berada di persimpangan penting. Adakah kita hanya akan menjadi pemerhati ketika dunia berubah, atau kita akan tampil sebagai ejen perubahan?
“Adakah kita menilai semula pakatan dan persahabatan yang telah lama terbina, atau kita memperteguh komitmen terhadap kerjasama pelbagai hala demi kemanusiaan?” katanya.
Perdana Menteri turut mengiktiraf bahawa ASEAN telah menjadi asas kukuh dalam membimbing serantau itu melalui pelbagai pertikaian samada isu kedaulatan, sempadan, pandemik mahupun bencana iklim.
“Malaysia akan terus menaruh kepercayaan kepada prinsip asas ASEAN dan potensinya yang berkekalan.
“Namun, kita mesti melangkah lebih jauh untuk memperkukuh tekad bersama,” ujarnya.
Menyentuh mengenai kepengerusian Malaysia di ASEAN pada tahun ini, Anwar menyatakan negara bertekad untuk memacu perubahan bukan sekadar retorik semata-mata tetapi sebagai ejen perubahan yang berani berdepan realiti dan memperkukuhkan kerjasama yang lebih bermakna.

“Kita sedang bersedia untuk menghadapi dunia yang penuh cabaran. Kita mesti memperkukuh integrasi serantau, membina hubungan ekonomi baharu, dan meneroka pemangkin pertumbuhan masa hadapan termasuk transformasi digital, ledakan Kecerdasan Buatan (AI), dan peralihan tenaga.
“Malaysia sedang berusaha menaik taraf perjanjian perdagangan sedia ada antara negara anggota dan rakan dialog,”
“Dalam menghadapi peningkatan perlindungan ekonomi, kita harus sedar bahawa perdagangan bukan sekadar pelengkap keselamatan, malah ia adalah asas yang mengikat rantau ini. Bila perdagangan terganggu, perpaduan juga retak,” ujarnya.
Beliau turut menjulang kembali kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pada baru-baru ini yang menjadi bukti bahawa kekuatan ASEAN sebagai penghubung dan keazaman negata dalam menjana sinergi ekonomi dan kerjasama institusi.

“Pemuktamadan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital akan membuka potensi besar ekonomi digital rantau ini.
“Lebih penting, keterhubungan serantau yang meningkat akan memberi peluang kepada perniagaan tempatan untuk berkembang merentasi sempadan,” tambahnya.
Sehubungan katanya, ASEAN mesti menyesuaikan diri dalam memanfaatkan peluang dan kerjasama ketika mana dunia dilihat sedang menuju ke arah ekonomi yang lebih hijau dan mampan.
“Kita sedang menggandakan usaha dalam peralihan tenaga dan amalan terbaik melalui garis panduan pelaburan mampan serta Pelan Grid Kuasa ASEAN.
“ASEAN yang benar-benar berteraskan rakyat hanya dapat dicapai dengan rantau yang lebih hijau dan berdaya tahan,” katanya.
Baca juga: