KUALA LUMPUR: Malaysia dalam usaha menerajui kecerdasan buatan (AI) yang dijangka memperkukuh kedudukan Negara sebagai hab utama AI di ASEAN dan di peringkat global.
Justeru, pelancaran Pelan Tindakan Teknologi AI (2024-2030) dan penubuhan Malaysia-Artificial Intelligence Consortium (MAIC) akan memacu perkembangan ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa langkah strategik untuk membangun ekosistem AI negara ini bertujuan mengembangkan bakat dan meningkatkan pelaburan dalam teknologi AI melibatkan sektor awam dan swasta.
“Kerajaan juga mensasarkan untuk menyiapkan Pelan Tindakan Teknologi AI (2026-2030) dalam tempoh 12 bulan akan datang, bersama kerangka peraturan yang beretika untuk mempercepat penerimaan teknologi AI dalam sektor-sektor utama di Malaysia.
“Dengan melibatkan pemimpin industri dan memperkukuh kolaborasi antara pihak berkepentingan, Malaysia boleh mencapai peranan sebagai negara yang dipacu AI di ASEAN,” ucap Anwar.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di majlis Google’s Mantap Malaysia Bersama AI, dekat Hotel St Regis, di sini pada Selasa.
Selain itu, Anwar turut mengalu-alukan penglibatan syarikat teknologi global seperti Google yang telah mengiktiraf potensi Malaysia, bukan hanya dalam pembangunan AI tetapi juga dalam menjaga kelestarian alam sekitar.
“Google menyedari potensi Malaysia sebagai negara progresif dalam kemajuan teknologi. Pelaburan mereka bukan sahaja mempercepat transformasi digital kita, tetapi juga selaras dengan nilai-nilai kita dalam menjaga kelestarian dan masa depan yang mampan,” tambahnya.
Menjelang sebagai Pengerusi ASEAN tahun hadapan, Kerajaan akan terus memperjuangkan dasar digital yang inovatif serta mempromosi kerjasama rentas sempadan bagi memacu kemajuan teknologi dan pertumbuhan ekonomi.