Malaysia Terus Main Peranan Isu Kemanusiaan Serantau, Global

PETALING JAYA: Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai pemain utama dalam misi kemanusiaan serantau dan antarabangsa apabila Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan pertemuan strategik bersama Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Yang Teramat Mulia Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, serta Pengarah Serantau Asia Pasifik IFRC, Alexander Matheou.

Pertemuan yang berlangsung di Wisma Putra semalam menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama dalam aspek bantuan kecemasan, pertolongan cemas dan tindak balas bencana serta bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Malaysia menghargai sumbangan positif BSMM dan IFRC dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan dan menyelamatkan nyawa komuniti yang terkesan akibat krisis kemanusiaan di seluruh dunia,” kata Mohamad dalam satu kenyataan.

Sebagai tuan rumah kepada Pejabat Serantau IFRC Asia Pasifik, beliau berkata, Malaysia memainkan peranan penting sebagai pusat penyelarasan bantuan kemanusiaan dan menjadikannya antara pelaksana utama misi kemanusiaan di rantau Asia Pasifik.

Dalam perbincangan tersebut, IFRC dan BSMM turut mengiktiraf pendirian konsisten Malaysia dalam memperjuangkan prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa termasuk usaha mempertahankan hak dan maruah mangsa konflik serta bencana.

Di dalam negara, katanya, BSMM terus memainkan peranan penting melalui perkhidmatan pertolongan cemas dan ambulans, latihan kecemasan kepada komuniti dan usaha membina ketahanan masyarakat secara berterusan.

Untuk info, BSMM, sebagai pertubuhan sukarela yang berwibawa telah lama menjadi tulang belakang dalam kerja-kerja bantuan kecemasan dan sokongan kesihatan awam di Malaysia.

Anda Mungkin Berminat