Malaysia – Mesir suara bersama isu kemanusiaan

RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpeluang mengadakan pertemuan singkat namun bermakna bersama rakan sejawatannya dari Mesir, Mostafa Madbouly di sela-sela Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS Ke-17 yang sedang berlangsung.

Pertemuan dua hala itu menjadi platform penting untuk kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan Mesir yang telah lama terjalin, khususnya dalam pelbagai bidang kerjasama meliputi ekonomi, pendidikan, pertanian dan hal ehwal antarabangsa.

“Mesir merupakan rakan penting Malaysia di dunia Arab dan Afrika Utara. Kita melihat ruang luas untuk memperkukuh lagi kerjasama dua hala dalam konteks dunia hari ini yang penuh cabaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Kedua-dua pemimpin turut berbincang mengenai beberapa isu serantau dan antarabangsa, dengan tumpuan khusus kepada perkembangan terkini di Gaza. Anwar dan Madbouly sepakat bahawa kezaliman terhadap rakyat Palestin mesti dihentikan segera, dan tekanan perlu terus diberikan terhadap rejim Zionis.

Anwar menegaskan bahawa komuniti antarabangsa tidak boleh lagi berdiam diri terhadap pencabulan hak asasi manusia yang berterusan di Gaza, sambil menyambut baik pendirian Mesir yang terus aktif memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin, termasuk usaha kemanusiaan yang konsisten di sempadan Rafah.

Selain isu Palestin, perbincangan turut menyentuh situasi kemanusiaan di Iran, termasuk kesan daripada sekatan serta cabaran rakyat awam yang terkesan. Malaysia dan Mesir sepakat bahawa tekanan berlebihan terhadap mana-mana negara melalui penindasan ekonomi dan politik hanya akan memburukkan lagi ketidakstabilan serantau.

Pertemuan ini turut membuka ruang baharu ke arah memperluas kerjasama dalam pendidikan tinggi dan pengantarabangsaan institusi Islam, memandangkan hubungan rapat rakyat Malaysia dengan pusat pengajian tinggi Islam seperti Universiti Al-Azhar di Kaherah sejak sekian lama.

Dengan semangat solidariti dan diplomasi nilai, kedua-dua negara menyatakan komitmen untuk terus bersuara dalam isu-isu keadilan global, serta memperkukuh hubungan strategik demi manfaat dan kemakmuran bersama rakyat Malaysia dan Mesir.

Anwar kini berada di Brazil untuk menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS Ke-17.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat