Malaysia Meterai Perjanjian Baharu Kukuh Keselamatan Petroleum ASEAN

KUALA LUMPUR: Malaysia mengukuhkan komitmennya terhadap keselamatan tenaga serantau dengan menandatangani ASEAN Framework Agreement on Petroleum Security pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) yang berlangsung di ibu negara.

Perjanjian baharu itu menggantikan ASEAN Petroleum Security Agreement (APSA) 2009, dengan matlamat memperkukuh kerjasama dan kesiapsiagaan negara-negara anggota dalam menghadapi sebarang gangguan bekalan tenaga.

Menurut Kementerian Ekonomi, perjanjian tersebut memperluas skop mekanisme tindak balas kecemasan petroleum sedia ada dan kini turut merangkumi gas asli sebagai langkah proaktif menghadapi cabaran tenaga global.

“Langkah ini memperkukuh solidariti ASEAN dalam memastikan kestabilan tenaga serantau,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Melalui pelaksanaan Coordinated Emergency Response Mechanism (CERM), negara anggota boleh menyalurkan sehingga 10 peratus daripada keperluan petroleum domestik mereka bagi membantu negara jiran yang terjejas ketika krisis.

“Ini memastikan ASEAN mampu bertindak balas secara tersusun jika berlaku gangguan bekalan global,” tambah kenyataan itu.

Selain aspek kecemasan, perjanjian itu turut menggalakkan kerjasama jangka panjang dalam bidang penerokaan tenaga, kepelbagaian sumber dan kecekapan tenaga selaras dengan Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) serta Pelan Peralihan Tenaga Nasional (NETR) Malaysia.

“Malaysia komited membina ekosistem tenaga yang mampan dan berdaya tahan untuk rantau ini,” jelas kementerian itu.

Namun begitu, Malaysia turut menegaskan bahawa penyertaan dalam perjanjian itu tidak membawa maksud pengiktirafan terhadap State Security and Peace Commission (SSPC) sebagai kerajaan sah Myanmar.

Anda Mungkin Berminat