Malaysia muncul juara di Pertandingan Antarabangsa World Robot Olympiad 2023

Pasukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) muncul juara keseluruhan Pertandingan Antarabangsa World Robot Olympiad (WRO) 2023.

KPM dalam satu kenyataan berkata, pada pertandingan Panama City, Panama yang bermula Selasa hingga Jumaat itu, pasukan negara berjaya meraih empat pingat emas dan dua pingat perak daripada keseluruhan tujuh kategori yang dipertandingkan.

Diketuai Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin, pasukan itu diwakili oleh 49 peserta dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah serta pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Malaysia turut menghantar pegawai KPM yang bertugas sebagai pengadil kejohanan dalam pertandingan yang disertai oleh 1,200 peserta dari 80 negara itu,” jelas kenyataan tersebut.

Difahamkan, kejayaan di WRO 2023 merupakan kejuaraan ke-11 daripada 19 kali penyertaan Malaysia dalam pertandingan tersebut.

Sementara itu, Shafruddin dalam kenyataan sama berkata, beliau berbangga dengan pencapaian itu yang disifatkannya terbaik sepanjang Malaysia menyertai WRO.

“Kerjasama berpasukan yang baik, komitmen dan sokongan semua pihak termasuk daripada Sasbadi Holdings Berhad yang menjadi rakan strategik KPM adalah ramuan penting pasukan negara untuk mengatasi saingan sengit daripada pasukan lain,” katanya.

Sementara itu, Shafruddin berkata, KPM sentiasa berusaha meningkatkan minat murid dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) termasuk menerusi program robotik yang menarik dan menghiburkan.

Baca lagi:

Anda Mungkin Berminat