Malaysia Naik Ke Tangga 54 CPI Dunia, Bukti Komitmen Kerajaan MADANI Perangi Rasuah

PETALING JAYA: Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia melonjak ke tangga 54, menandakan keberhasilan usaha Kerajaan MADANI dalam memerangi rasuah secara sistemik serta memperkukuh tadbir urus negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu adalah hasil tindakan tegas pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk SPRM, PDRM, LHDN dan JKDM.

Menurutnya, antara kejayaan besar yang dicapai ialah pemulihan lebih RM15.5 bilion hasil negara melalui rampasan aset, dana serta pembanterasan sindiket rasuah dan ketirisan kewangan awam.

“Kerajaan MADANI juga tidak berkompromi apabila integriti institusi strategik dipersoalkan.

“Tindakan tegas terhadap salah laku dan penyelewengan dalam sektor pertahanan, di samping pembongkaran kartel serta rasuah berprofil tinggi, menegaskan prinsip bahawa tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang,” katanya.

Anwar turut menekankan bahawa pencapaian itu bukan sekadar angka tetapi peringatan untuk menggandakan usaha memerangi rasuah secara konsisten dan berani.

Langkah ini penting bagi memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan amanah negara terus dipertahankan.

Lonjakan kedudukan CPI ini dilihat sebagai bukti komitmen kerajaan dalam memperkukuh integriti, meningkatkan ketelusan dan menegakkan prinsip keadilan demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Anda Mungkin Berminat