Malaysia Nasihat Rakyat di Qatar Kekal Waspada Susulan Ancaman Iran

DOHA: Kedutaan Malaysia di Doha menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Qatar supaya terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan susulan perkembangan keselamatan semasa di rantau Teluk.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial rasmi, kedutaan memaklumkan situasi semasa di negara itu berikutan amaran terbaharu yang dikeluarkan oleh Iran terhadap beberapa negara di rantau berkenaan.

Menurut kenyataan itu, kerajaan Qatar memberi jaminan bahawa keadaan masih terkawal dan rakyat tidak perlu panik, dengan angkatan tenteranya sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga bagi mempertahankan negara.

Tambahnya, Angkatan Tentera Qatar juga dilaporkan berjaya memintas hampir semua serangan sekali gus mengurangkan kerosakan serta jumlah korban.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia dinasihatkan agar terus berwaspada, mengelakkan berada di kawasan berisiko tinggi serta sentiasa peka dengan persekitaran.

“Semua rakyat Malaysia diingatkan supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Qatar dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Kedutaan turut memaklumkan bahawa rakyat Malaysia yang diarahkan berpindah dan memerlukan bantuan boleh menghubungi talian kecemasan 24 jam atau e-mel rasmi kedutaan untuk mendapatkan bantuan lanjut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat