Malaysia negara ke-7 paling dipercayai di dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia disenaraikan antara negara paling dipercayai di dunia tahun ini apabila menduduki tangga ketujuh daripada 28 negara dalam Laporan Edelman Trust Barometer 2026.

Indeks Kepercayaan Malaysia turut mencatat peningkatan kepada 71 mata berbanding 66 mata tahun lalu menerusi kajian yang menilai tahap keyakinan rakyat terhadap sektor perniagaan, kerajaan, media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanapun, laporan itu turut mendedahkan peningkatan fenomena “kepercayaan tertutup” atau insular trust dalam kalangan masyarakat negara ini.

Sebanyak 65 peratus rakyat Malaysia didapati semakin sukar mempercayai individu yang mempunyai pandangan politik, latar budaya dan sumber maklumat berbeza.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Penasihat Kanan Edelman Asia Tenggara, Mazuin Zin berkata, tahap kepercayaan tinggi rakyat Malaysia terhadap institusi merupakan sesuatu yang membanggakan.

Menurut beliau, komunikasi yang jelas dan telus amat penting bagi mengelakkan salah faham serta persepsi tidak tepat dalam kalangan masyarakat.

“Jika terlalu sedikit penjelasan diberikan, lebih banyak andaian akan timbul.

“Sebab itu komunikasi yang jelas penting supaya masyarakat memahami hala tuju dan matlamat yang ingin dicapai bersama,” katanya pada Majlis Pelancaran Edelman Trust Barometer Malaysia 2026 di sini pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, penyiar awam perlu memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat sahih kepada masyarakat.

Menurut beliau, Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyiar awam perlu menjadi penghubung yang mendekatkan masyarakat dengan maklumat tepat dan dipercayai.

“Dalam suasana komunikasi hari ini yang semakin mencabar, institusi media perlu tampil memperkukuh keyakinan rakyat terhadap maklumat yang disampaikan,” katanya.

Kajian Edelman Trust Barometer 2026 itu dilancarkan Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Yong Soo Heong.

Kajian tersebut dijalankan antara 23 Oktober hingga 18 November 2025 melibatkan 28 negara dengan penyertaan 33,938 responden termasuk kira-kira 1,200 responden bagi setiap negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat