Malaysia negara ‘luar biasa’, PM yakin perpaduan kaum jadi tarikan pelabur

Masyarakat berbilang kaum bukan sahaja menjadi kekuatan utama negara, tetapi turut menarik perhatian pelabur asing bagi merancakkan ekonomi negara. 

Kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, negara amat bertuah memiliki kepelbagaian budaya dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. 

Justeru, kestabilan politik Kerajaan Perpaduan harus dikuatkan lagi bagi memastikan tahap ekonomi negara berdaya saing dengan negara lain. 

“Kita mesti folus kepada pembangunan ekonomi, pelaburan dan memperluas keupayaan negara dalam pelbagai bidang. 

“Kita kaya dengan budaya, malah negara ini memiliki kepelbagaian bahasa, daripada bahasa Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris. Inilah tarikan dan kekuatan Malaysia yang boleh menarik minat pelabur. Jadi daripada sekarang, perlu penekanan kepada perkara ini,” katanya ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada Sabtu. 

Turut hadir, Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chan Lih Kang; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong dan Presiden KLSCAH, Ngan Teng Ye.

Dalam pada itu, mengulas mengenai hubungan baik antara Malaysia dan China, Anwar berkata, kedua-dua negara saling bekerjasama dalam pelbagai bidang. 

“Hubungan Malaysia-China sudah sampai ke tahap strategik dan membanggakan, malah Presiden Xi Jinping dan PremierLi Qiang dan pimpinannya sentiasa ada hubungan baik untuk kepentingan rakyat negara kita dan bersama.

“Selain kerjasama ekonomi, kita turut kembangkan (kerjasama) pendidikan, kebudayaan antaranya membabitkan universiti dan syarikat besar di China,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat