KUALA LUMPUR: Malaysia dan New Zealand bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor halal, membuka lembaran baharu ke arah peluasan pasaran dan pemantapan piawaian industri halal di peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha tersebut menjadi antara tumpuan utama dalam pertemuan dua hala beliau bersama Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, pada Selasa.
Langkah memperkukuh sektor halal ini dijangka bukan sahaja meningkatkan pelaburan bersama, malah membuka ruang kepada pengiktirafan piawaian halal Malaysia di pasaran global khususnya di rantau Pasifik.
“Malaysia dan New Zealand kekal komited untuk memuktamadkan semakan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–New Zealand (MNZFTA) menjelang akhir 2025, di samping memperkukuh kerjasama dalam sektor halal,” katanya dalam satu hantaran pada Selasa.
Anwar menegaskan kesediaan Malaysia untuk berkongsi kepakaran dalam pembangunan industri halal termasuk dalam aspek pensijilan, logistik dan penyelidikan, demi memastikan produk halal terus diyakini di peringkat antarabangsa.
“Kita mahu memperkukuh rangkaian halal global dengan memanfaatkan kekuatan masing-masing, Malaysia dengan kepakaran dan piawaiannya, manakala New Zealand dengan kekuatan sumber serta teknologi pemprosesan makanan,” ujarnya.
Selain sektor halal, kedua-dua negara turut meneliti kemajuan pelaksanaan serta rundingan beberapa memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian sedia ada dalam bidang pendidikan, pertanian, tenaga boleh baharu, belia dan sukan, keadilan jenayah serta pengurusan bencana.
“Kita yakin hubungan erat ini bukan sahaja menguntungkan dari segi perdagangan dan pelaburan, malah memperkukuh persefahaman antara rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa termasuk perkembangan di Myanmar dan Palestin, sambil menegaskan komitmen bersama terhadap prinsip keamanan, keadilan dan pembangunan inklusif.
Anwar turut menyuarakan keyakinan bahawa hubungan Malaysia dan New Zealand akan terus berkembang, memberi manfaat yang menyeluruh kepada rakyat kedua-dua negara.







