Malaysia pacu transformasi digital melalui kerjasama antarabangsa – Fahmi Fadzil

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Dalam era digital yang semakin berkembang, Malaysia mengambil langkah proaktif untuk memperkukuh kedudukan negara dalam transformasi digital.

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menegaskan betapa pentingnya kerjasama antara negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam memacu gelombang transformasi digital.

“Malaysia percaya penyelarasan usaha dan perkongsian pembelajaran dalam kalangan negara anggota amat penting untuk memacu gelombang transformasi digital yang seterusnya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Fahmi turut menyentuh mengenai pelbagai cabaran yang dihadapi oleh negara anggota OIC, termasuk pengawalseliaan dan keselamatan siber.

Beliau menekankan perlunya membuka potensi penuh sistem pembayaran digital.

Dengan penggunaan pembayaran digital yang semakin meluas, Malaysia berusaha memastikan bahawa semua lapisan masyarakat, termasuk mereka di kawasan luar bandar dapat menikmati manfaat daripada perkembangan ini.

Statistik menunjukkan bahawa rakyat Malaysia semakin bergantung kepada sistem e-pembayaran, dengan purata penggunaan sebanyak 343 kali setahun yang bermakna hampir sekali sehari.

“Penekanan Malaysia terhadap peluasan penggunaan pembayaran digital adalah penting dalam memacu keterangkuman kewangan,” tambahnya.

Transformasi digital di Malaysia bukanlah hasil usaha individu tetapi merupakan hasil pendekatan kolaboratif antara kerajaan, industri kewangan dan pihak berkepentingan antarabangsa.

Bank Negara Malaysia turut memainkan peranan penting dalam memastikan rangka kerja kawal selia selaras dengan kemajuan teknologi.

Dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, Malaysia bersedia untuk menghadapi cabaran yang mendatang dalam era digital ini.

Anda Mungkin Berminat