Malaysia, Pakistan Sokong Penuh Usaha Henti Pertumpahan Darah Di Asia Barat

PETALING JAYA: Malaysia menegaskan pendirian menyokong sepenuhnya sebarang inisiatif ke arah menghentikan pertumpahan darah serta memulihkan kestabilan di Asia Barat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pendirian itu dizahirkan dalam perbualan telefon beliau bersama Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, yang turut menyentuh perkembangan semasa konflik di rantau berkenaan.

Anwar berkata, Malaysia mengikuti rapat situasi geopolitik di Asia Barat dan menyambut baik peranan Pakistan dalam usaha mediasi bagi meredakan ketegangan.

“Malaysia kekal berpendirian bahawa sebarang inisiatif ke arah menghentikan pertumpahan darah dan memulihkan kestabilan serantau wajar disokong sepenuhnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Beliau berkata, usaha mempertemukan pihak-pihak berkepentingan adalah penting bagi memastikan keamanan yang berkekalan dapat dicapai.

Dalam perbualan itu, kedua-dua pemimpin turut bertukar ucapan sempena Hari Raya Aidilfitri serta mendoakan keamanan dan kesejahteraan rakyat di kedua-dua negara.

Anda Mungkin Berminat