Malaysia, Palestin usahakan pembaharuan Gaza melalui kolaborasi akademik – Anwar

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbesar hati menyambut tetamu istimewa, Imam dan khatib Masjidil Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Sa’id Sabri di Masjid Putra, malam tadi.

Anwar dalam ucapannya pada Majlis Ilmu MADANI itu menyatakan hasrat Malaysia untuk menyegerakan usaha pembangunan semula Gaza melalui inisiatif wakaf, sejajar dengan saranan Sheikh Dr Ekrima sendiri.

“Saya meminta Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti tempatan untuk menjalin hubungan dengan Universiti Al-Quds di Baitulmuqaddis demi kelangsungan ilmu dan pembangunan umat Palestin,” katanya.

Beliau turut mengingatkan tentang tragedi genosid yang dialami oleh umat Palestin dan menggesa agar umat Islam meniupkan semangat perjuangan serta mengangkat martabat dalam pelbagai bidang sambil mengatasi isu-isu remeh yang memecahbelah perpaduan.

“Saya turut ulangi teguran yang disampaikan tatkala berucap di hadapan para ulama dan sarjana Islam sewaktu Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) di Bahrain baru-baru ini.

“Ia terkait permasalahan umat Islam yang masih direnggut perpecahan akibat perbalahan isu-isu remeh hingga kita mengabaikan usaha membangun dan memperkukuh perpaduan umat,” katanya.

Dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin sengit, Anwar turut menekankan pentingnya umat Islam membina kekuatan ekonomi, menguasai kecerdasan buatan (AI) dan digital serta menyeimbangkan kemajuan teknologi dengan nilai kemanusiaan, akhlak dan ihsan seperti ditekankan dalam gagasan MADANI.

Pada majlis itu juga, Sheikh Dr Ekrima dalam tausiahnya bertajuk ‘Kedudukan al-Quds dan al-Aqsa disisi Islam’ mengupas sejarah agung kota Al-Quds termasuk peristiwa Israk dan Mikraj serta ketokohan Umar Al-Khattab sebagai khalifah yang adil.

Beliau juga mengimbas detik-detik Bilal ibn Rabah mengalunkan azan selepas lima tahun kewafatan Rasulullah SAW yang meruntun jiwa para sahabat.

Di akhir majlis, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan kepada Sheikh Dr Ekrima sebagai seorang tokoh pertahanan umat yang gigih memperjuangkan kedudukan Masjid al-Aqsa, mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Palestin dalam usaha mencapai pembangunan dan perpaduan umat yang lebih besar.

Anda Mungkin Berminat