PETALING JAYA: Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapat situasi di Jepun susulan amaran tsunami yang dikeluarkan hari ini, berikutan gempa bumi kuat berukuran 8.0 pada skala Richter berhampiran Semenanjung Kamchatka, Rusia, sekitar pukul 8:25 pagi waktu tempatan.
Agensi Meteorologi Jepun menjangkakan gelombang tsunami setinggi antara satu hingga tiga meter bakal melanda kawasan pantai yang menghadap Lautan Pasifik termasuk Hokkaido timur, Semenanjung Boso, Kepulauan Ogasawara, sebahagian Shizuoka, Semenanjung Kii dan Prefektur Miyazaki.
Wisma Putra berkata, setakat ini, tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas.
Namun, Wisma Putra menasihatkan agar semua rakyat Malaysia di kawasan berkenaan sentiasa berjaga-jaga dan mematuhi arahan keselamatan pihak berkuasa tempatan.
“Keselamatan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kami,” kata Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam, Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan.
Wisma Putra turut menggesa rakyat Malaysia di Jepun agar mendaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo dan kekal berhubung sekiranya memerlukan bantuan segera.
Kedutaan Malaysia di Tokyo kini bersedia memberikan sokongan dan bantuan sewajarnya kepada mana-mana rakyat Malaysia yang mungkin terkesan oleh situasi tersebut.
Gempa bumi yang melanda Jepun hari ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, dan pihak berkuasa terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara.








