Oleh: Nadhirah Akmam
PUTRAJAYA: Malaysia terus memperkukuh komitmen kemanusiaannya terhadap Gaza apabila Kementerian Luar Negeri mengesahkan sedang memantau secara rapi misi flotilla kemanusiaan kedua yang kini dalam pelayaran menuju ke wilayah bergolak itu dengan membawa sembilan aktivis warganegara Malaysia.
Misi tersebut digerakkan di bawah gabungan antarabangsa ‘Freedom Flotilla Coalition (FFC)’ dan ‘Thousand Madleens to Gaza’ dengan matlamat utama mencabar sekatan haram Israel ke atas Gaza serta menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.
“Semua pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di rantau terlibat telah diarahkan berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dan mengekalkan pemantauan rapi terhadap perkembangan misi ini,” menurut kenyataan Wisma Putra.
Menurutnya, langkah-langkah bersesuaian turut disusun bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk risiko penahanan oleh pihak berkuasa Israel, selain memastikan keselamatan dan kebajikan aktivis Malaysia yang menyertai misi berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Wisma Putra turut mengesahkan ketibaan 23 peserta Malaysia daripada misi terdahulu, Global Sumud Flotilla (GSF), yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam Selasa.
Ketibaan mereka disambut penuh penghargaan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, mewakili Perdana Menteri bersama beberapa menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan.
Semua peserta dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan sihat.
Kerajaan Malaysia turut menzahirkan penghargaan kepada Türkiye, Jordan, Mesir, Amerika Syarikat dan negara-negara ASEAN atas bantuan serta fasilitasi yang diberikan dalam memastikan keselamatan dan kepulangan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi tersebut.
Misi flotilla ini bukan sekadar pelayaran bantuan tetapi menjadi lambang solidariti Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Ia mencerminkan pendirian teguh negara dalam memperjuangkan hak asasi manusia, menjunjung prinsip kemanusiaan sejagat dan menolak penindasan yang berterusan di Gaza.








