Malaysia Pastikan Bantuan Ke Palestin Disalur Secara Teratur – Anwar

KUALA LUMPUR: Malaysia terus memperkukuh komitmen terhadap perjuangan kemanusiaan Palestin dengan menegaskan bahawa setiap bentuk bantuan dari negara ini mesti diselaraskan secara teliti dan berkesan agar benar-benar sampai kepada rakyat Gaza yang amat memerlukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama rangkaian masyarakat sivil Malaysia yang menggerakkan dua inisiatif utama iaitu Ops Ihsan dan Sumud Flotilla dalam usaha menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin.

“Saya bersama rangkaian masyarakat sivil Malaysia yang menggerakkan Ops Ihsan dan Sumud Flotilla telah bertemu hari ini bagi menyelaras tindakan segera menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Anwar berkata, aspek penyelarasan dan keberkesanan adalah kunci utama agar bantuan yang dihantar tidak hanya bersifat simbolik tetapi memberi impak nyata kepada mangsa kekejaman rejim Zionis di Gaza.

“Pelan bantuan dari Malaysia mesti dikoordinasi dengan teliti dan berkesan agar setiap bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan bersama masyarakat sivil akan memastikan setiap langkah bantuan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, mencerminkan nilai kemanusiaan sejagat yang menjadi pegangan Malaysia.

“Dengan kebijaksanaan, kecekapan dan semangat solidariti yang kita tunjukkan, saya yakin usaha ini akan membantu meringankan penderitaan saudara-saudara kita di Gaza dan menjadi lambang keprihatinan serta kemanusiaan rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin,” katanya.

Malaysia sebelum ini turut memainkan peranan aktif dalam misi bantuan antarabangsa melalui Global Sumud Flotilla, yang menghantar sukarelawan dan bekalan bantuan ke Gaza sebagai tanda solidariti berterusan bersama rakyat Palestin.

Anda Mungkin Berminat