Malaysia pendirian tidak sertai Board of Peace

Oleh: Tyah Helmi

DEWAN NEGARA | Malaysia berpendirian untuk tidak menyertai “Lembaga Keamanan” atau “Board Of Peace” buat Gaza kerana masih kurang pasti dan jelas sama ada lembaga itu akan segera menangani punca utama konflik jenayah genosid yang berlaku di Palestin oleh tentera haram Israel.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, secara prinsipnya Malaysia menyokong sebarang usaha global dalam mencapai keamanan berkekalan di Palestin.

“Malaysia menyokong sebarang usaha global dalam mencapai keamanan berkekalan di Palestin.

Namun begitu, Malaysia secara konsisten sentiasa menegaskan bahawa keamanan yang berkekalan di Palestin hanya dapat dicapai melalui satu penyelesaian yang inklusif dan komprehensif, berteraskan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mengutarakan isu berkaitan pendirian Malaysia terhadap penubuhan Board Of Peace (Peace) ketika berucap di Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja 2026 di Dewan Negara pada Rabu

Lukanisman turut menjelaskan bahawa Malaysia begitu menekankan bahawa hak asasi mutlak rakyat Palestin merangkumi hak kenegaraan, kedaulatan dan keutuhan wilayah Palestin yang perlu dilindungi dan dihormati serta hak untuk pulang ke tanah air perlu dijamin.

Kata beliau lagi, penubuhan Board Of Peace itu dilihat tidak memberi fokus kepada perkara yang lebih utama iaitu penamatan pendudukan haram Israel di Palestin serta prospek arah penyelesaian dua negara.

“Walaupun terdapat banyak negara yang telah memberi komitmen yang agak signifikan bagi pembangunan dan pembinaan semula Gaza, Board of Peace ini dilihat tidak memfokuskan perkara yang lebih utama iaitu penamatan pendudukan haram Israel di Palestin, serta prospek ke arah penyelesaian dua negara.

“Penyertaan beberapa negara ASEAN iaitu Indonesia, Kemboja dan Vietnam dalam Board of Peace adalah berdasarkan pertimbangan masing-masing, dan Malaysia menghormati keputusan berdaulat setiap negara anggota,” ujarnya.

Pada masa sama, Malaysia turut kekal komited untuk bekerjasama rapat bersama semua rakan serantau dalam mempromosikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama yang selaras dengan dasar luar negara.

Sebelum ini, media melaporkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada bulan Januari lalu mengumumkan penubuhan sebuah “Lembaga Keamanan” atau “Board Of Peace” bagi Gaza, yang disifatkan sebagai elemen utama dalam fasa kedua pelan keamanan yang disokong AS bagi menamatkan perang di wilayah Palestin itu.

“Itu satu penghormatan besar untuk saya umumkan bahawa Board Of Peace” telah dibentuk,” kata Trump dalam hantaran di platform Truth Social, sambil menyatakan bahawa senarai ahli badan tersebut akan diumumkan “dalam masa terdekat.”

“Saya boleh katakan dengan pasti bahawa ini adalah lembaga paling hebat dan paling berprestij yang pernah dibentuk pada bila-bila masa, di mana-mana tempat,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat