Malaysia perkenal 9 laluan penerbangan antarabangsa baharu

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Malaysia bakal memperkenalkan sembilan laluan antarabangsa baharu dan satu laluan penerbangan sewa, melibatkan lima destinasi utama negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, laluan-laluan itu bertujuan menawarkan kemudahan perjalanan yang lebih selesa dan menarik lebih ramai pelancong antarabangsa.

Katanya, lima destinasi utama yang akan terlibat ialah Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Langkawi dan Pulau Pinang.

“Menjelang pertengahan Disember, Indigo Airlines akan membuat penampilan pertamanya di Malaysia dengan tiga laluan baharu menghubungkan Malaysia dan India.

“Ini termasuk penerbangan harian dari Bengaluru ke Kuala Lumpur dan Langkawi, serta penerbangan harian dari Chennai ke Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, antara laluan baharu lain termasuk penerbangan harian Batik Air dari Bangkok, Thailand ke Johor Bahru dan penerbangan tiga kali seminggu Air Asia dari Saigon, Vietnam ke Kota Kinabalu.

Selain itu, penerbangan lima kali seminggu Malaysia Airlines dari Kolkata, India ke Kuala Lumpur, penerbangan tiga kali seminggu Shanghai Airlines dari Yuncheng, China ke Kuala Lumpur dan penerbangan dua kali seminggu Jiangxi Air dari Nanchang, China ke Kuala Lumpur juga akan diperkenalkan.

Bagi penerbangan sewa khas, Jeju Air akan memperkenalkan laluan penerbangan dua kali seminggu antara Muan, Korea Selatan dan Kota Kinabalu, bermula 10 Disember.

Menurutnya lagi, setelah kesemua 10 laluan mula beroperasi, terdapat penambahan 50 penerbangan antarabangsa setiap minggu ke Malaysia.

“Ini akan meningkatkan kapasiti penumpang mingguan sebanyak lebih 7,400, sekali gus menjadikan jumlah penerbangan antarabangsa lebih 3,100 setiap minggu.

“Kapasiti penumpang akan meningkat daripada 612,423 kepada hampir 620,000 setiap minggu,” jelasnya.

Tiong King Sing percaya bahawa pengumuman ini merupakan peristiwa penting bagi sektor pelancongan negara dan yakin ia mampu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama.

“Berita ini pastinya menjadi peristiwa penting bagi sektor pelancongan negara ini dan saya yakin ia mampu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama,” katanya.

Bagi tahun ini sehingga Oktober lalu, ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia telah melepasi 20.5 juta.

Anda Mungkin Berminat