Malaysia Perkenal Ayam Belanda Halal Dari Rusia

PUTRAJAYA: Kerajaan memperkenalkan ayam belanda halal dari Rusia ke pasaran tempatan sebagai langkah memperkukuh keterjaminan makanan negara serta memperluas ekosistem halal Malaysia.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengenalan produk berkonsepkan ‘From Russia With Love’ itu mencerminkan kerjasama erat Malaysia–Rusia dalam memastikan bekalan makanan halal, selamat dan berkualiti untuk rakyat.

Menurut beliau, ayam belanda berkenaan telah mendapat pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan diimport mengikut syarat keselamatan makanan yang ketat termasuk pengiktirafan Wilayah Penza sebagai kawasan bebas penyakit Avian Influenza (HPAI).

“Langkah ini penting bagi memastikan bekalan ayam belanda mencukupi khususnya ketika musim perayaan seperti Krismas, di samping memberi lebih banyak pilihan makanan halal kepada pengguna.

“Kerajaan akan terus memastikan semua sumber makanan yang dibawa masuk ke negara ini mematuhi piawaian halal, keselamatan dan kualiti demi kepentingan pengguna serta kestabilan bekalan makanan negara,” katanya selepas menghadiri Majlis Pengenalan Halal Ayam Belanda dari Rusia, pada Selasa.

Mohamad berkata, inisiatif itu selari dengan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan rakyat dapat menikmati bekalan makanan yang selamat, diyakini dan terjamin.

Anda Mungkin Berminat