Malaysia Perkenal TVET Aras Tinggi – TPM

KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi menegaskan komitmennya terhadap pendidikan tinggi bertaraf dunia melalui penganjuran MQA Awards 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu hantaran di Facebook berkata, acara tahunan anjuran Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) itu bukan sekadar meraikan kecemerlangan institusi dan individu tetapi turut menjadi pentas pelancaran inisiatif baharu yang bakal mengubah landskap pendidikan negara.

Buat julung kalinya, katanya, Malaysia memperkenalkan laluan TVET Aras Tinggi di peringkat Sarjana dan Kedoktoran satu langkah berani yang membuka ruang kepada pengiktirafan lebih luas terhadap kemahiran profesional.

“Saya berasa amat bangga kerana buat julung kalinya, Malaysia memperkenalkan TVET Aras Tinggi di peringkat Sarjana (Master) dan Kedoktoran (Doctorate).

“Alhamdulillah, MQA telah meluluskan Master of Professional Practice dan Doctor of Professional Practice pada Aras 7 dan 8 dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF),” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa tamadun hebat lahir daripada ilmu yang berkualiti dan Malaysia kini berdiri sebagai penjaga gerbang ilmu melalui MQA bagi memastikan setiap graduan bukan sahaja diiktiraf tetapi juga mampu bersaing di peringkat global.

“Insya-Allah, kita akan terus memacu inovasi, membina modal insan berkelas dunia dan memastikan nama Malaysia terpahat sebagai negara yang serius dalam membina masa depan melalui pendidikan berkualiti,” tambah beliau.

Anda Mungkin Berminat