PETALING JAYA: Malaysia mengambil langkah tegas dalam memperkukuh kawalan eksport teknologi strategik apabila Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mewajibkan Permit Perdagangan Strategik bagi semua aktiviti eksport, penghantaran semula dan transit cip kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi yang berasal dari Amerika Syarikat (AS).
MITI dalam satu kenyataan berkata, langkah itu berkuat kuasa serta-merta dan turut meliputi cip AI yang tidak disenaraikan secara rasmi sebagai barangan terhad, menerusi peruntukan ‘Catch-All Control’ di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010).
“Inisiatif ini bertujuan menutup jurang kawal selia sedia ada, sementara Malaysia menjalankan semakan lebih lanjut terhadap kemasukan cip AI berprestasi tinggi buatan AS ke dalam senarai barangan strategik di bawah STA 2010,” menurut kenyataan MITI.
MITI turut menetapkan bahawa mana-mana individu atau syarikat yang ingin menguruskan penghantaran cip AI dari AS perlu memaklumkan kepada pihak berkuasa sekurang-kurangnya 30 hari lebih awal sebelum sebarang urusan dilakukan.
“Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang percubaan memintas kawalan eksport atau penyertaan dalam aktiviti perdagangan haram oleh mana-mana individu atau entiti.
“Tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran terhadap STA 2010 atau mana-mana undang-undang berkaitan,” tegas MITI.
Langkah ini menyusul selepas laporan Jabatan Perdagangan AS mencadangkan larangan penghantaran cip AI canggih Nvidia kepada China melalui negara ketiga seperti Malaysia dan Thailand.
Kebimbangan Washington memuncak sejak Januari lalu, apabila siasatan mendapati kemungkinan cip AI diseludup melalui Singapura dan Malaysia ke destinasi akhir di China.
Malaysia menjadi tumpuan selepas Menteri Undang-undang dan Ehwal Dalam Negeri Singapura, K. Shanmugam, mendedahkan pada 3 Mac bahawa pelayan dilengkapi cip Nvidia yang dieksport ke Malaysia mungkin mempunyai destinasi akhir yang berbeza.
Sebagai pemain utama dalam ekosistem semikonduktor global, Malaysia kini berada di persimpangan antara mengekalkan reputasi sebagai hab teknologi sah dan mengelak daripada menjadi saluran penyeludupan teknologi strategik.
Langkah kawalan ini dilihat sebagai usaha proaktif untuk melindungi integriti perdagangan negara dan mengelak sekatan sekunder dari kuasa luar.








