PETALING JAYA: Malaysia terus memperkukuh langkah ke arah menjadi peneraju kecerdasan buatan (AI) serantau menjelang tahun 2030, selaras dengan aspirasi nasional ‘AI Nation 2030’ yang menekankan integrasi teknologi demi kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemajuan teknologi perlu diterjemahkan kepada impak nyata dalam kehidupan seharian rakyat dan prestasi ekonomi negara.
“Teknologi bukan hanya soal inovasi tetapi bagaimana ia dapat memberi manfaat langsung kepada masyarakat dan ekonomi negara,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat MED4IRN Bil. 4/2025 pada Selasa.
Anwar berkata, sebagai sebahagian daripada usaha pendigitalan perkhidmatan awam, kerajaan telah membangunkan aplikasi ‘MyGOV Malaysia’ sebagai platform sehenti untuk semua urusan kerajaan.
Anwar turut mengarahkan agar semua kementerian dan agensi segera mengintegrasikan perkhidmatan mereka ke dalam aplikasi tersebut bagi mempercepatkan transformasi digital sektor awam.
Dalam masa yang sama, katanya, peluasan penggunaan ‘MyDigital ID’ diteruskan dengan sasaran 15 juta pendaftaran menjelang akhir tahun ini.
Proses pendaftaran akan diperkukuh melalui pengesahan identiti oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bagi memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan sistem.
Kerajaan juga memberi tumpuan kepada peningkatan akses Internet di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Perdana Menteri menyarankan agar kemudahan ini diperluaskan ke Kolej Matrikulasi, Kolej Vokasional, Institut Pendidikan Guru (IPG) serta institusi TVET.
“Pendigitalan memerlukan asas yang kukuh. Infrastruktur digital adalah kunci untuk memastikan ekonomi digital berkembang dan teknologi benar-benar dimanfaatkan rakyat,” katanya.
Menjelang 2030, Malaysia menetapkan matlamat untuk menjadikan AI sebagai enjin utama pembangunan sosioekonomi, pentadbiran kerajaan dan kehidupan rakyat.