Malaysia perkukuh hubungan strategik dengan India dan Afrika Selatan

RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengorak langkah aktif di pentas antarabangsa dengan mengadakan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden Republik Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa di sela-sela Sidang Kemuncak BRICS Ke-17.

Anwar berkata potensi besar kerjasama strategik Malaysia–India diperluas dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, teknologi digital dan pertahanan.

“India adalah antara rakan strategik penting Malaysia di rantau Asia. Kerjasama antara dua ekonomi sedang pesat membangun ini berpotensi mencorak lanskap serantau yang lebih dinamik,” ujarnya.

Malaysia turut mengalu-alukan minat syarikat-syarikat India untuk melabur dalam sektor masa hadapan seperti ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu dan industri aeroangkasa selari dengan agenda pembangunan negara yang berteraskan inovasi dan teknologi tinggi.

Hubungan antara rakyat turut menjadi fokus, dengan perbincangan mengenai cadangan penubuhan kampus Institut Teknologi India (IIT) di Malaysia, simbol keyakinan terhadap kerjasama pendidikan berkelas dunia. Pertukaran budaya, pelancongan dan akademik turut diangkat sebagai pemacu hubungan dua hala jangka panjang.

Selain aspek ekonomi dan sosial, Anwar dan Modi turut menegaskan komitmen bersama terhadap keamanan dan kestabilan serantau. Kedua-dua negara bersetuju menyokong penyelesaian aman dan adil terhadap isu-isu antarabangsa termasuk Palestin dan Jammu-Kashmir.

Malaysia juga menyambut baik usaha memperkukuh hubungan ASEAN–India menjelang Sidang Kemuncak ASEAN–India Oktober ini, sebagai platform memperkasa kerjasama serantau antara Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Sementara itu, dalam pertemuan dengan Presiden Ramaphosa di Rio de Janeiro, Anwar menyifatkannya sebagai langkah penting menilai semula bentuk kerjasama Malaysia–Afrika Selatan dan merangka pelan peluasan pelaburan dalam sektor strategik seperti pertanian, automotif, pelancongan dan industri halal.

“Kerjasama ini membuka peluang luas untuk pelaburan rentas benua, sejajar dengan visi MADANI yang mementingkan pembangunan inklusif dan mampan,” katanya.

Anwar turut menzahirkan penghargaan atas sokongan tegas Afrika Selatan terhadap perjuangan rakyat Palestin, khususnya peranan aktif negara itu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam usaha menegakkan keadilan dan hak asasi manusia.

“Sokongan Afrika Selatan terhadap rakyat Palestin adalah bukti komitmen mereka terhadap keadilan sejagat. Malaysia berdiri teguh bersama dalam usaha ini,” tegas beliau.

Bagi memperkukuh hubungan diplomatik ke tahap lebih tinggi, Anwar turut menjemput Presiden Ramaphosa untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini, dan pada masa sama menyambut baik jemputan rasmi Malaysia ke Sidang G20 di Afrika Selatan November ini.

Kedua-dua pertemuan ini mencerminkan pendekatan diplomasi MADANI yang dibawa oleh Malaysia yang berteraskan nilai kemanusiaan, kerjasama strategik dan pembangunan bersama. Dalam dunia yang semakin mencabar, Malaysia terus memainkan peranan aktif, progresif dan berprinsip di peringkat antarabangsa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat