Malaysia Perkukuh Jaringan Pendidikan Tinggi Dunia Islam Bersama ICESCO

PETALING JAYA: Malaysia terus memainkan peranan aktif dalam memperkasa pendidikan tinggi dunia Islam menerusi kerjasama strategik bersama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Dunia Islam (ICESCO).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pertemuan berasingan bersama Ketua Pengarah ICESCO, Dr Salim M. AlMalik baru-baru ini telah membuka ruang untuk mempererat hubungan antara Malaysia dan negara anggota dunia Islam dalam bidang pendidikan tinggi.

“Dalam pertemuan tersebut, kami turut berbincang mengenai peningkatan jaringan kerjasama universiti dan institusi penyelidikan antara Malaysia dan negara anggota ICESCO serta pelaksanaan program bersama dalam bidang transformasi digital, pembangunan kapasiti dan TVET,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

ICESCO, sebuah entiti di bawah naungan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ditubuhkan pada 1979 dan beribu pejabat di Rabat, Maghribi, berperanan memperkukuh kerjasama dalam pendidikan, sains, budaya dan komunikasi di kalangan negara Islam.

Organisasi itu turut menjadi pemacu dalam memperkasakan modal insan dan mempromosi nilai sejagat berteraskan tamadun Islam yang progresif.

Mengulas lanjut, Dr Zambry berkata, beliau secara peribadi berasa kagum dengan pendidikan tinggi di Malaysia yang mencapai tahap yang membanggakan untuk peringkat global dan memacu hub pendidikan tinggi serantau.

“Malaysia komited untuk menjadi rakan strategik yang aktif dalam usaha memperkasa pendidikan tinggi dunia Islam, selari dengan aspirasi kita membina sebuah ekosistem pendidikan yang berteraskan ilmu, inovasi dan nilai sejagat,” katanya lagi.

Menurutnya, Dr Salim turut menyatakan hasrat untuk menyertai Festival of Ideas (FOI) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi yang dijadual berlangsung November ini, selepas kejayaan penganjuran pertamanya tahun lalu.

Anda Mungkin Berminat