Malaysia perkukuh kerjasama pertahanan dengan AS – PM Anwar

SINGAPURA: Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai rakan strategik dalam bidang pertahanan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth, dalam sela-sela lawatan kerja singkat ke Singapura.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan dan keselamatan maritim, selain menyatakan penghargaan atas penyertaan aktif Amerika Syarikat dalam Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) baru-baru ini.

“Pertemuan ini memberi ruang untuk kami membincangkan pelbagai kepentingan bersama, khususnya dalam memperkukuh kerjasama strategik di rantau ini,” kata Anwar dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menerima kunjungan Presiden Boeing Global, Brendan Nelson, yang turut menghadiri Dialog Shangri-La 2025, dan kedua-duanya membincangkan aspek keselamatan maritim, pemodenan aset serta pelaburan dalam pendidikan.

Pertemuan itu turut menyentuh potensi kerjasama Boeing dengan pemain industri tempatan dalam latihan, pemindahan teknologi serta pembangunan ekosistem Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) di Malaysia.

“Kita melihat peluang untuk mewujudkan kerjasama yang lebih erat antara sektor industri pertahanan global dan tempatan, termasuk dalam bidang latihan dan pembangunan bakat,” jelasnya.

Menurut Anwar, kedua-dua pertemuan itu menggambarkan komitmen Malaysia untuk terus menjadi peneraju pertahanan serantau yang stabil, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Perbincangan ini mengukuhkan lagi kepentingan strategik Malaysia di pentas serantau dan global,” tegas beliau.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat