Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Malaysia perlu menyegerakan usaha memperkukuh penggunaan tenaga boleh baharu sebagai langkah strategik demi mengurangkan kadar kebergantungan terhadap bahan api fosil sekaligus meningkatkan daya tahan negara dalam menghadapi krisis tenaga global.
Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, negara kini berada dalam era penting mengorak ke arah revolusi tenaga baharu di saat pasaran tenaga dunia berdepan ketidaktentuan berterusan.
Menurut beliau, krisis tenaga global yang menyaksikan harga minyak melebihi AS$100 setong serta potensi kekurangan bekalan dalam tempoh terdekat dijangka memberi kesan langsung kepada kos pengangkutan dan logistik dalam negara.
“Peningkatan kos ini akan mendorong kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, sekali gus berpotensi merencatkan pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Selasa.

Tegas Ahmed Razman, peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui seperti hidro dan solar perlu dipergiat, walaupun pelaksanaannya memerlukan masa berikutan melibatkan pembangunan infrastruktur, kemudahan serta insentif yang menyeluruh.
Katanya, sebahagian industri telah mula beralih kepada sumber tenaga alternatif, namun kebanyakan sektor yang berdepan kekangan untuk melaksanakan perubahan tersebut dalam tempoh singkat.
“Usaha ini perlu dilaksanakan secara berterusan kerana kita tidak mahu terlalu terdedah kepada risiko kebergantungan terhadap petroleum dan gas,” jelasnya.
Tambah beliau, peralihan kepada tenaga baharu bukan sahaja mampu mengurangkan tekanan kos akibat turun naik harga minyak global, malah menjadi pemacu utama dalam memperkukuh kestabilan ekonomi negara dalam jangka panjang.
Baca juga:








