Malaysia Perluas Akses Produk, Eksport Sawit Ke Ethiopia

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia memperluas akses produk ke pasaran Ethiopia termasuk ayam, sarang burung dan makanan ternakan di samping menawarkan kepakaran dalam penanaman sawit serta benih berkualiti.

Perkara itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed, sebelum kedua-duanya mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala yang disifatkan penuh makna.

“Selain membuka akses produk, saya turut mencadangkan semakan kadar tarif import terhadap produk sawit Malaysia yang kini semakin mendapat tempat di pasaran Ethiopia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Menurut Anwar, langkah itu dijangka memperkukuh kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara, selain membuka peluang baharu untuk syarikat Malaysia dalam misi dagangan dan padanan perniagaan bersama Ethiopia.

“Malaysia juga menekankan kepentingan sektor lain seperti kecerdasan buatan, semikonduktor, industri halal dan keselamatan siber sebagai sebahagian daripada usaha memperluas ruang kerjasama ekonomi baharu,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat