KUALA LUMPUR: Malaysia dan Poland mengambil langkah proaktif untuk memperluaskan kerjasama dalam pelbagai sektor utama, termasuk pertahanan, kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan industri halal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan dua hala bersama Presiden Poland, Andrzej Duda, berlangsung dalam suasana mesra dan konstruktif yang mencerminkan kepentingan hubungan erat antara kedua-dua negara.
“Pertemuan ini memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk meneliti secara menyeluruh hubungan sedia ada serta mengenal pasti bidang baharu yang boleh diterokai demi manfaat bersama.
“Antara yang diberi tumpuan termasuk sektor pertahanan, pembangunan AI sebagai pemangkin ekonomi digital serta teknologi dalam sektor agrokomoditi untuk menjamin kelestarian industri makanan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar turut menekankan bahawa mesyuarat itu amat signifikan dalam konteks geopolitik dan ekonomi semasa terutama dalam memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU).
Poland kini memainkan peranan penting di peringkat global, menjadikannya rakan strategik yang berpotensi dalam memperkasa pelbagai sektor ekonomi dan teknologi di Malaysia.
Selain aspek teknologi dan pertahanan, kedua-dua negara turut membincangkan peluang pelaburan dalam teknologi digital serta prospek memperluaskan kerjasama industri halal.
Dengan permintaan yang semakin meningkat di Eropah, Poland muncul sebagai pintu masuk utama produk halal ke pasaran EU yang membuka ruang lebih luas kepada pemain industri halal Malaysia untuk mengembangkan pasaran.